Wednesday, April 25, 2007

Berdoalah selagi mampu..

Ulul Albab: DOA didik diri sentiasa sabar



DENGAN suatu kepastian bahawa permohonan anda untuk mendapatkan RM100 akan dikabulkan, apa yang akan terjadi pada permohonan berkenaan? Jawapannya, sama ada anda mendapatkannya serta-merta atau ditangguhkan kemudian hari. Namun, terfikirkah anda jawapannya dielakkan daripada anda satu kerugian (baca: keburukan) yang seharga RM100, walaupun anda tidak mendapatkannya.

Itulah konsep doa dalam Islam iaitu setiap doa pasti dikabulkan Allah SWT, tetapi bentuk jawapan tidak semestinya seperti kita mohonkan. Allah berjanji mengabulkan setiap permohonan kita dalam firman-Nya bermaksud: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah al-Mu’min: 60)

Nabi SAW menjelaskan jawapannya adalah “Tidaklah ada seorang Muslim berdoa kepada Allah yang bukan permohonan melakukan dosa atau memutuskan silaturahim, kecuali Allah akan memperkenankan doanya itu dengan satu daripada tiga cara, iaitu sama ada dikabulkan serta-merta atau ditangguhkan untuk keperluan pada kemudian hari atau dijauhkan daripadanya keburukan yang senilai dengan doanya itu.”
Sahabat berkata: “Jika demikian maka kami akan memperbanyakkan doa.” Nabi menjawab: “Allah pun lebih banyak lagi perkenan-Nya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Ada sebahagian umat berpendapat doa tidak akan membawa kesan apa-apapun kerana semua sudah ditetapkan Allah, jadi tidak perlu berdoa lagi. Jadi buat apa berdoa? Bahkan kita perhatikan dalam solat di masjid mereka selepas solat berjemaah terus angkat kaki tanpa berdoa selepas solat. Pendapat ini salah dan tidak disokong mana-mana dalil dalam al-Quran dan hadis.

Al-Quran menunjukkan bagaimana doa bermanfaat bagi manusia yang memohonnya. Sebagai contoh, ketika Nabi Yusuf AS berdoa dalam ayat al-Quran bermaksud: “Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara daripada yang perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi daripada orang yang tidak mengamalkan ilmunya. Maka, Tuhan memperkenankan doanya lalu dijauhkan daripada tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah Yusuf: 33-34)


Daripada ayat di atas, doa sememangnya berkesan dan bermanfaat bagi orang yang memohonnya, sama ada untuk diri mahupun pihak lain. Dalam kedua-dua ayat di atas, ada doa daripada seorang hamba dan ada perkenan daripada Pencipta.

Ibnu Rajab pernah bercerita mengenai seorang ahli ibadah yang berada di Makkah. Dia kehabisan bekal dan menderita kelaparan amat sangat hingga hampir membinasakannya. Ketika dia berkeliling dan salah satu jalan di kota Makkah, tiba-tiba dia menemui kalung antik yang mahal. Dia pun menyimpan kalung berkenaan dalam begnya dan pergi menuju ke Masjidil Haram. Tiba-tiba, di sana ada seorang lelaki mengumumkan dirinya kehilangan kalung. Orang itu menjelaskan bagaimana bentuk kalungnya yang hilang. Ternyata semua keterangan dia sampaikan mirip kepada kalung ditemui orang berkenaan. “Saya berikan kalung itu kepadanya namun, dengan syarat memberikan imbalan kepada saya,” kata orang menemuinya itu.

Kalung itu pun diambilnya, dan dia pergi begitu saja tanpa ucapan terima kasih, atau dengan memberikan satu dirham, sepatah kata, mahupun dengan memberikan apa saja. “Ya Allah! Aku biarkan semua itu untukmu, maka gantilah untukku sesuatu yang lebih baik daripadanya.” Kemudian dia pergi ke laut, dan menumpang sebuah perahu. Ketika di laut, tiba-tiba angin bertiup kencang sekali, dan perahu ditumpanginya karam. Akhirnya dia terapung-apung di laut dengan sebatang kayu yang dibawa angin hingga akhirnya terdampar di sebuah pulau, dan dia pun turun ke daratan. Di pulau itu dia menuju sebuah masjid dan orang ramai sedang bersolat, dia pun kemudian ikut solat bersama mereka. Di masjid itu dia menemukan lembaran kertas yang selepas dibacanya ternyata ayat-ayat al-Quran.

Seorang daripada mereka bertanya kepadanya: “Apakah anda sedang membaca al-Quran?” Jawabnya: “Ya”! Kemudian penduduk pulau itu berkata: “Ajarilah anak kami al-Quran.” Dia pun setuju mengajarkan al-Quran kepada mereka dengan dibayar. Kemudian dia pun menulis tulisan Arab, dan orang itu pun bertanya lagi: “Apakah anda boleh mengajar anak kami tulis menulis?” Jawabnya: “Ya!” Maka dia pun mengajar anak mereka dengan menerima bayaran. Orang di pulau itu kemudian bercerita bahawa di tempat itu ada seorang perempuan yatim, anak seorang yang sangat baik. Kini, orang tuanya meninggal dunia. “Apakah anda mahu menikahinya?” tanya orang itu kemudian. Dia menjawab: “Tak apa.” Dan dia pun akhirnya menikahi perempuan itu.

Ketika masuk ke biliknya, pada hari pertama, dia melihat kalung yang pernah dia temui melingkari leher isterinya. Maka, dia pun bertanya: “Bagaimana kisah kalung ini?” Si isteri itu pun kemudian bercerita. Dalam cerita itu disebutkan ayahnya suatu hari pernah menghilangkannya di Makkah. Kata si ayah kepadanya, kalung ini ditemui seorang lelaki yang kemudian diserahkan begitu saja kepadanya. Sepulangnya dari Makkah, si ayah selalu berdoa
dalam sujudnya semoga Allah mengurniakan suami buat anak perempuannya seperti lelaki itu yang menemui kalungnya itu. Pada akhir ceritanya, si suami menyergah: "Sayalah lelaki itu."


Sekarang kalung itu berada di sisi lelaki itu dengan status halal, sebab dia meninggalkan sesuatu kerana Allah, maka Allah pun menggantikannya dengan yang lebih baik.

Dalam kisah di atas kita melihat bagaimana doa itu diperkenankan Allah. Ada doa dari seorang ahli ibadah “Ya Allah! Aku biarkan semua itu untukmu, maka gantilah untukku sesuatu yang lebih baik daripadanya” maka diperkenankan Allah di kemudian hari dengan diberikan kepadanya anak pemilik kalung yang hilang. Tentu saja anak perempuan dan kalung lebih baik daripada kalung saja.

Dalam kisah di atas kita melihat ada doa seorang ayah yang baik yang menginginkan suami untuk anaknya sebaik lelaki yang menemui kalungnya yang hilang dulu, maka Allah pun memberikan apa dimintanya itu. Bukankah itu tanda kebenaran janji Allah dalam ayat surah al-Mu’min.



Al-Tanukhi menceritakan salah seorang menteri di Baghdad, menyebutkan namanya, berbuat aniaya terhadap harta-benda milik seorang wanita tua. Dia merampas haknya dan menyita semua harta miliknya. Perempuan tua itu pun datang kepada menteri dimaksudkan sambil menangis dan memprotes tindakannya yang zalim lagi kejam. Namun, menteri itu tidak ambil peduli, apalagi menyesali perbuatannya. Perempuan tua itu berkata: “Jika engkau tidak menyedarinya juga, aku akan memohon kepada Allah supaya engkau celaka.’ Menteri itu tertawa terkekeh-kekeh dan mengejek wanita itu dan berkata dengan angkuh: “Berdoalah pada sepertiga akhir malam.”
Wanita itu pun meninggalkannya. Setiap hari, pada sepertiga malam terakhir, dia selalu berdoa. Tidak berapa lama kemudian pada waktu singkat, ternyata menteri itu dipecat dari jawatannya dengan cara tidak terhormat; dan semua hartanya disita. Dia diikat di tengah-tengah pasar dan disebat sebagai hukuman atas kejahatannya kepada rakyat. Ketika dia sedang menjalani hukuman sebat, perempuan tua itu lalu di hadapannya dan berkata kepadanya: “Engkau benar. Engkau menganjurkan kepadaku untuk berdoa pada sepertiga malam terakhir, dan terbukti sepertiga terakhir malam itu memang waktu yang baik.”


Dalam kisah ini ada juga doa dan jawapannya. Bahkan dalam kisah ini perkenan Allah lebih mustahak kerana seperti disabdakan junjungan “Waspadalah terhadap orang dizalimi, kerana sesungguhnya antara doanya dan Allah tidak ada penghalang.”

Al-Dua silah al-mu’min atau ‘doa adalah senjata orang beriman’ seperti disabdakan junjungan. Ia sangat ampuh untuk melawan kegundahan hati manusia yang disebabkan warna-warni kehidupan. Dengan senjata doa diperkenankan Allah, secanggih-canggihnya senjata musuh akan lumpuh dan boleh dikalahkan. Antara membezakan doa dengan senjata sebenar adalah penyebab keberkesanannya.

Kemahiran dan latihan berterusan pemegang senjata akan memberi kesan maksimum dalam penggunaannya. Kedekatan orang yang berdoa dengan Allah dan kekhususannya memberi kesan maksimum dalam doa.

Dengan mengetahui hakikat ini, musuh Islam dengan bisikan syaitan gentar memerangi umat Islam. Mereka menyedari walaupun umat Islam tidak memiliki senjata canggih, tetapi mereka mempunyai senjata yang penuh dengan rahsia yakni DOA.

p/s: ya Ilahi..jadikanlah diri hamba yang tak jemu berdoa kepadaMu....

0 comments:

  © Blogger template 'Isolation' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP