Tuesday, July 17, 2007

Assalamualaikum wrt. wbt.

-Selasa, 2 Rejab 1428H-

Bulan Rejab seperti yang banyak diwar-warkan merupakan antara bulan yang mulia dalam kalendar Islam. Maka telah disebutkan pelbagai ganjaran spesifik menanti sebagai timbalan amal yang dikerjakan dalam bulan tersebut; puasa, zikir, sedekah etc. Dan diri yakin, ramai yang telah terdengar atau paling kurang pun terbaca dari mana-mana artikel, sumber dan medium mengenai fadhilat dan kelebihan-kelebihan beribadat pada sekian-sekian hari. Artikel yang ditulis dipetik bukan dari calang-calang sumber: Hadith lengkap dengan nama perawi dan nama junjungan mulia kita Rasulullah SAW, dinyatakan sanadnya sekali. Baca sekali memang terus boleh dicerna masuk akal yang serba cetek ni. Namun sejauh manakah hadith-hadith seperti ini boleh dipercayai?

Di bawah ni diri ada petik sedikit dari artikel 'Pengajian Ibn Qayyim' dari blog seorang rakan; tapi malang website asal gagal dibuka.

1. Ibnu al-Jawzi menyebutkan dari riwayat Muhamad bin Abdul-Baqi dari Abu Bakr Muhamad bin al-Hassan al-Naqqasy, dari Abu Said r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

((Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku, maka barangsiapa yang berpuasa bulan Rejab dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah, maka ia wajib mendapat keredhaan Allah Yang Maha Agung dan ditempatkannya di Syurga al-Firdaus yang tertinggi. Sesiapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka baginya pahala dua kali ganda, timbangan tiap-tiap ganda bagaikan bukit-bukit di dunia. Barangsiapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menjadikan antaranya dan Neraka sebuah parit yang panjangnya setahun perjalanan. Barangsiapa yang berpuasa empat hari dari bulan Rejab maka ia akan diselamatkan dari bala, gila, kusta, sopak, fitnah al-Masih al-Dajjal dan dari azab kubur…)).

Ibnu al-Jawzi telah menghukum hadith ini dengan maudhu'

2. Ibnu Shahin meriwayatkan dari Ali r.a dari Harun bin ‘Antarah bahawa Rasulullah saw bersabda:

((Sesungguhya bulan Rejab adalah bulan yang agung, maka barangsiapa yang berpuasa sehari dari bulan Rejab nescaya Allah menuliskan baginya puasa seribu tahun. Siapa yang berpuasa dua hari dari bulan Rejab maka Allah menuliskan baginya puasa dua ribu tahun. Siapa yang berpuasa tiga hari dari bulan Rejab maka Allah menulis baginya puasa tiga ribu tahun…))

Menurut Ibnu ‘Iraq: Hadith ini adalah maudhu’ tanpa syak lagi. Harun bin ‘Antarah pula disi Ibnu Hibban adalah seorang pereka hadith.

3. Diriwayatkan daripada Ali bin Abu Talib r.a bahawa Rasulullah saw bersabda:

((Aku dibangkitkan sebagai Nabi pada 27 Rejab, maka barangsiapa yang berpuasa pada hari itu dan ia berdoa sewaktu berbuka puasa, maka puasa itu menjadi kifarat baginya selama sepuluh tahun)).

Hadith ini telah disebut oleh al-Hafidz Ibnu Hajar dari kitab Fawaid susunan Abu al-Hassan bin Shakhr dengan sanad yang bathil.

Demikianlah antara contoh sebahagian kecil daripada hadith-hadith palsu yang tersebar dikalangan masyarakat Islam mengenai fadhilat puasa di bulan Rejab ini. Masih terdapat banyak lagi hadith-hadith palsu lain mengenai fadhilat puasa di bulan ini yang sesetengah daripada fadhilat tersebut tidak dapat diterima oleh akal yang sejahtera, apatah lagi ianya bercangggah dengan kaedah dan prinsip asas agama.

Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam menyentuh perkara ini berkata: ((Tidak terdapat hadith-hadith yang boleh dijadikan hujah yang menyebut tentang fadhilat khusus bulan Rejab, atau fadhilat berpuasa (sepenuhnya) di bulan ini, atau berpuasa sebahagiannya, atau menghidupkan malamnya yang khusus)).
Rujuk: Ibn Hajar, Tabyin al-‘Ajab fi ma warada fi Fadhl Rajab, m/s 23.

Umar al-Khattab melarang orang berpuasa dibulan ini dan beliau pernah memukul tangan orang yang tidak mahu makan disebabkan berpuasa di bulan Rejab.
Rujuk: al-Suyuti, al-Amr bi al-Ittiba’ wa al-nahyu an al-Ibtida’, (Bierut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, cet.1, 1988), m/s 63).

Wallahu'alam..

Perenggan terakhir artikel di atas, diri pun kurang maklum wa arif. Diri sendiri perlu buat lebih rujukan. Dan kepada yang membaca, jika kedapatan masa terluang, cuba 'tanya' 'en. google', cari rujukan yang boleh dipercayai berkenaan hadis-hadis seperti ini. BANYAK. Dan tentunya tak terhad pada isu beribadat di bulan Rejab ni sahaja, banyak lagi perihal-perihal ibadat lain.

Kesimpulan dan pengajaran?
Bukanlah maknanya terus tak boleh dibuat amalan-amalan yang dimaksudkan. Niat diri bukan nak menegah atau membatalkan hukum berpuasa dan beribadat di bulan Rejab. Jahillah diri kalau begitu niat asalnya membangkitkan isu ni. Puasa sunat merupakan antara ibadat sunat yang sangat digalakkan. Puasalah. Dan yang lebih penting adalah niat lillahita'ala dan bukan semata-mata mahu mendapat ganjaran spesifik yang dinyatakan dalam hadith yang entah sejauh mana kesahihannya. Dan sejauh kefahaman diri, ganjaran Allah tu harus dijadikan sebagai pendorong, bukan sebagai matlamat. Matlamat kita adalah keredhaan Allah..

Dan satu lagi, jangan mudah percaya pada artikel-artikel atau berita atau apa sahaja yang dibaca dan didengar sebelum disiasat kesahihannya. Tapis sebelum cerna. Lebih-lebih lagi yang diselitkan hadith dengan nama Rasulullah. Jika kurang pasti kebenarannya, tak perlulah disebar-sebarkan sebagai forward message, email berantai etc. Jangan jadi 'penyebar hadith palsu'. Dan artikel yang dipetik di atas, niat diri hanya ingin berkongsi dan harapnya telah dapat membuka minda kita semua mengenai kewujudan hadis-hadis sebegini yang telah kedengaran biasa masyarakat Islam kini. Diri sendiri pun masih menyiasat kesahihan hujah-hujah tersebut dan harapnya yang membaca ni pun. Jangan terima isi artikel di atas bulat-bulat. Sekiranya ada sesiapa yang ada bukti menunjukkan hujah-hujah tersebut palsu, sila 'inform' diri cepat-cepat.

p/s: Wallahua'alam bissawaab..kata-kata di atas dituju untuk diri sendiri juga kerana telinga sendiri yang lebih dekat dengan mulut yang bercakap..sedang dan masih menuntut ilmu..

[nota kaki:
hadith maudhu' = hadith palsu (apa-apa yang tidak pernah terkeluar daripada Nabi SAW sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan atau taqrir, tetapi disandarkan kepada baginda samada secara sengaja atau tersalah, jahil atau memperdaya-Abdul Fatah Abu Ghudah,op. cit, h. 41)
sanad = sandaran; rantaian perawi hadis ]

0 comments:

  © Blogger template 'Isolation' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP