Tuesday, August 7, 2007

Seksi: Jabatan agama tidak jadi dakwa penyanyi
06-08-2007 08:53:00 PM

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) menggugurkan pendakwaan terhadap penyanyi Siti Noor Idayu Abd Moin berkaitan kes berpakaian menjolok mata dan menggalakkan maksiat di sebuah kelab malam.

Penyanyi itu, 22, berkata Jaip mengambil keputusan tersebut selepas satu pertemuan Sabtu lepas.

“Dalam mesyuarat itu, (Jaip) membuat keputusan menggugurkan pertuduhan sebab ia tidak mempunyai cukup bukti untuk meneruskan pendakwaan," kata Siti Noor Idayu [foto kiri].

Dalam pertemuan itu, katanya, pegawai-pegawai Jaip turut menasihatkannya berpakaian sopan untuk persembahan pada masa depan.

Penyanyi itu bagaimanapun berkata dia akan tetap berpakaian seperti sebelumnya.

"Saya tidak fikir pakaian saya terlalu menjolok mata atau seksi. Bukannya saya pakai bikini. Saya tahu apa yang boleh dan tidak boleh saya lakukan," katanya.

Jaip menahan Siti Noor Idayu dan beberapa lagi ketika serbuan di sebuah kelab malam di Tambun pada 3 Julai lepas. Jabatan agama tersebut setakat ini gagal dihubungi untuk ulasan.








'It is quite irony', bak orang rambut perang cakap. Belakangan ini agak gah isu artis-artis ditegur berkaitan penampilan mereka yang semakin berani. Berapa ketika dulu gambar si kecil manis Sharifah Amani dengan tiada berambutnya bukan main besar terpampang di muka depan akhbar tempatan dan kecoh seketika apabila dia ditegur Mufti Selangor sendiri. Ya, membotakkan kepala bagi wanita memang terang-terangan haram kerana menyerupai lelaki.


Dari Ibnu Abbas Rhma berkata :
Rasulullah saw. telah melarang perempuan mencukur ( membotakkan ) kepalanya .
Dikeluarkan oleh An Nasaa'I Kitabuz Ziinah , bab Larangan Perempuan mencukur kepalanya

Abi Musa Al Asya'ri Rha. berkata :

Rasulullah saw. berlepas diri dari perempuan yang meninggikan suara tangisan ketika meratap dan membotakkan kepala ketika musibah .
Dikeluarkan oleh Imam Bukhari

Ulasan :
Membotakkan kepala bagi wanita dalam keadaan mereka menerima musibah dilarangkan oleh Rasulullah saw. sehingga baginda melafazkan bahawa baginda akan berlepas diri darinya, inikan pula membotakkan kepala dalam keadaan aman tanpa sebarang musibah .Pastinya ia lebih dimurkai oleh Nabi saw.

Itu berkaitan membotakkan kepala. Bagaimana pula perihal berpakaian mendedah menjolok mata oleh artis-artis kita sekarang ini? Tindakan JAIP terhadap Ida Moin tempoh hari sepatutnya dipuji kerana berani bertindak walaupun sayang kerana hanya berani di tengah jalan, terpaksa menggugurkan dakwaan tersebut atas alasan tak cukup bukti. Ah, sepatutnya badan-badan agama yang lain juga perlu seiring bertindak. Kes ini boleh dikategori kes terpencil, berlambak lagi artis-artis yang lebih berani mendedah-dedah dan menggalakkan maksiat di kelab-kelab malam. Dan kalau betul nak istiqamah bertindak, tak perlu ke kelab-kelab malam dan tempat tertutup saja; serbu saja dewan-dewan besar dan auditorium pada malam-malam anugerah hiburan; rasanya kosong terus dewan tu kecuali hadirin yang bertuksedo.

Itulah ironinya. 'Gajah depan mata tak nampak, kuman sebatu boleh nampak'.

Umum selalunya menyalahkan kerajaan. Benar, kerajaan punya kuasa untuk mengawal 'produk' dari industri hiburan. Kita ada Lembaga Penapisan Filem dan pelbagai akta untuk mengawal kandungan media sebelum jadi tontonan anak-anak kecil. Tapi malangnya kerajaan tak punya kuasa terhadap tuan punya badan artis-artis itu sendiri untuk mengawal tingkah laku dan pembawaan mereka di luar.

Isu ini seharusnya difikir bersama. Jari tak patut ditunding pada badan-badan agama yang wujud. Kerana mereka berada dalam situasi dilema sekarang; yang mana bila mereka bertindak menahan artis yang terdedah, umum akan bidas, ada lagi artis yang lagi dedah, kenapa tak tahan mereka? Bila mereka menegur yang melanggar batas syarak, ada yang akan bidas, ramai je yang dah buat dulu, kenapa tak tegur mereka? Macam cerita bangau, tapi siapa agaknya yang akan jadi si ular; yang mengaku kesalahan sendiri?

Jelas, isu ini jadi hangat bila artis yang mencetuskannya. Dan cukup jelas, artis merupakan penggerak media dan media punya pengaruh besar dalam membentuk moraliti masyarakat dan seterusnya negara. Pendapat diri, kalau kita takut artis bawa pengaruh buruk pada anak-anak generasi sekarang dan akan datang dengan imej dan personaliti yang buruk, institusi keluargalah yang berperanan kritikal dalam hal ini. Pembentukan sahsiah dan moral anak-anak yang mantap perlu dipupuk dari kecil supaya iman mereka kebal dengan persekitaran mereka yang kurang elok. Dan kita jangan lupa, kita juga punya pengaruh besar dalam media; kuasa memilih.

Mufti-mufti dan badan agama yang wujud perlu terus proaktif dalam hal ni. Teruslah menegur dan bertindak menahan orang-orang yang bersalah. Umum mungkin akan membidas, tapi sekurang-kurangnya umum akan lebih celik mata berkaitan isu ini. Dan kalau artis-artis ni tak sedar juga, kita doakanlah mereka dapat hidayah dan petunjuk dari Allah SWT.


p/s: masih terasa geram dengan kenyataan Rosnah Mat Aris yang menghina junjugan besar kita SAW. Kebebasan media terlampau.

5 comments:

syamir August 7, 2007 at 11:47 PM  

Seronok gak baca ko nya blog...
sbb bahasa melayu macam dalam surat khabar...
cool2

pencari_nur August 8, 2007 at 9:11 AM  

dalam usaha menjunjung martabat Bahasa Melayu...

cewah!

Kaki Bangku August 19, 2007 at 10:12 AM  

ayat macam surat khabar atau macam karangan SPM? tehee...

pencari_nur August 20, 2007 at 2:05 AM  

SPM eh?

hehe..tulah, lama tak mengarang. rindu jugak zaman2 sekolah dulu..

apa2 pun, sedang cuba memperbaiki dan meng'upgrade'..=)

terima kasih en. kaki bangku!

Anonymous August 28, 2007 at 9:08 AM  

nk mintak link kan page ni. tak pe kan?

  © Blogger template 'Isolation' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP