Wednesday, January 16, 2008

Kamu Puja Bunga Di Taman~

Kamu puja bunga di taman
Kamu terpesona dengan keindahan
Kamu tulis di dalam sajak-sajakmu
Hingga kupa kamu pada Tuhanmu
Bukankah dia akan layu kemudian jatuh ke bumi, ia takkan berguna lagi
Kamu puja perempuan, kamu lukis dengan kata-kata
Hingga lalai dengan Tuhan

Bukankah dia akan tua
Atau adakalanya dia tidak setia, yang akan mengecewakan kamu
Kamu kagum dan puja awan yang berarak dan beralih
Kamu gambarkan dengan bahasa yang indah
Hingga lupa pada kewajipan Tuhan
Padahal awan boleh hilang
Kamu berjenaka dengan gunung-ganang

Kemudian kamu ungkap didalah syai-syairmu
Padahal kalau kamu dekat
Ia adakalanya menakutkan, membencikan, menjemukan dan memayahkan
Entah apa lagi yang kamu berkhayal dengan hal yang ada di dunia ini
Hingga kamu berfoya-foya dan menghabiskan masa
Lupa Tuhan, lupa agama, lupa hari pembalasan
Sedangkan semua itu akan binasa

Padahal kalau mata hatimu, hidup jiwamu celik
Kamu puja Tuhan, kamu mengagungkan Tuhan
Seterusnya kamu cintakan Dia dan kamu jadikan Dia idolamu
Tuhan adalah kekal, Dia adalah pembela
Dia adalah sumber segala-galanya
Inilah lebih menguntungkan kamu
Kerja kamu tidak sia-sia

Untungnya hingga ke syurga






Saturday, October 13, 2007

Salam Aidilfitri 1428H, Salam kemaafan..


Buat semua ahli keluarga, rakan-rakan dan semua yang mengenali diri, Salam Aidilfitri diucapkan. Seribu kemaafan dipohon atas segala kesalahan yang dilakukan sama ada yang nyata ataupun tidak. Sungguh diri hanya insan biasa!


Semoga Syawal kali ini membawa seribu satu makna kepada semua...

Salam Aidilfitri dari kejauhan,



Azni Nabela bt. Wahid,
Vanderbilt University, USA
2 Syawal 1428H

Saturday, October 6, 2007

Duhai hati, jangan terkorban dengan dunia..

Sesekali hati mengeluh dengan kesusahan dan kepayahan hidup. Terasa pedih dan rapuh, sakitnya seperti tiada hati lain yang mampu mengerti. Namun tidak tersedarkah hati itu adalah ujian dari Tuhannya? Kepayahan itu sesungguhnya adalah bentuk tarbiyahNya kepada hati. Pernah hati bersyukur kerana mendapat perhatian yang sedemikian dari Tuhannya? Terlebih banyak mengaduh dari bertahmid rasanya.


"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." -Surah Al-Ankabut ayat 2-3

"...dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir." -Surah Yusuf ayat 87


Tak tersedarkah hati segala yang diberinya itu adalah nikmat; kebahagiaan adalah nikmat, sakit adalah nikmat, perit itu lebih nikmat, jika hati ingin menerima. Duhai hati, sedarlah, bukannya Tuhanmu tidak mendengar segala jerit perih, betapa pedih peritnya derita apa yang dialami, betapa segala yang hati ingin, tidak semua kan hati perolehi. Bukankah Dia sudah terang-terang berfirman:

"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui." -Surah Al-Baqarah ayat 216


Nah, Tuhannya sendiri telah siap mengatur segala rencana perjalanan hidupnya hati. Mengapa harus merungut lagi dengan jalan yang ditempuh. Duri-duri dan halangan itu adalah rahmat. Redha dan pasrah, wahai hati, itulah lumrah. Tidak tersedarkah hati bahawa setiap langkah, setiap kudrat, setiap butir bicara, kerlip mata dan denyut jantung selama ini semuanya nikmat yang Tuhannya beri, Tuhannya pinjamkan. Cara apa dan bagaimana hati gunakan semua pinjaman tersebut? Setiap langkah dan kudrat digunakan untuk ke jalan kebaikankah? Setiap butir bicara hanya yang baik dan berhikmah sajakah? Kerlip mata dan sisa denyut jantung yang masih ada dimanfaatkan dengan amal ibadahkah? Tuhannya berhak mutlak ke atas hati. Kenapa hati masih perlu persoalkan mengapa ujian diturunkan? Tepuk dahi, tanya minda semula.


Layakkah hati-hati ini dengan Syurga milik Allah SWT???


"Hai Kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang saleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberi
rezeki di dalamnya tanpa dihisab."
(Surah Al Mu'min ; ayat 39-40)

p/s: Hidup hati sebenarnya untuk mencari mati yang sempurna...

Ayuh! Rebutkan Lailatulqadr!



Lailatul Qadr: Malam misteri yang dirindui kedatangannya


Ustaz Zainudin Hashim

Umat Islam di seluruh dunia akan memasuki fasa ketiga pelaksanaan ibadat puasa serta amal-amal ibadat sunat yang lain pada minggu hadapan, ini bermakna sedar atau tidak, Ramadan tetap akan meninggalkan kita buat tempoh setahun.

Apa yang perlu sama-sama kita ingatkan antara satu sama lain, ialah kenangan positif yang kita kecap sepanjang berada dalam bulan Ramadan, iaitu bulan yang dipenuhi dengan segala macam keberkatan, rahmat, keampunan Ilahi serta program-program yang dapat membebaskan diri daripada api neraka.

Itulah bulan yang banyak memberi kita peluang untuk mendapatkan rahmat Allah, keampunan-Nya dari segala kesalahan yang telah kita lakukan sebelum ini, memohon kepada-Nya agar diri kita, keluarga serta anak-anak bebas daripada siksaan api neraka.

Masa yang paling sesuai untuk kita lakukan kesemua itu adalah di tengah malam, di ketika ramai manusia sedang seronok tidur dan mungkin juga sebahagian mereka sedang menonton rancangan kesukaan mereka, kerana pada waktu itu suasana hening menyelubungi manusia, justeru waktu itu juga amat berkesan untuk menyatakan rasa hati kepada Maha Pencipta.
Apatah lagi pada malam akhir-akhir di bulan Ramadan, terdapat satu malam yang disebut oleh Allah SWT dengan jelas sebutan namanya yang mulia dalam satu surah yang pendek, malam yang diturunkan padanya kitab suci al-Quran sebagai petunjuk kepada manusia menuju jalan kebenaran dan keselamatan di dunia dan akhirat, iaitulah malam yang sangat dikenali dengan Lailatul Qadr - atau diterjemahkan sebagai malam takdir.

Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Berdasarkan ayat di atas dapat dilihat bahawa malam al-Qadar disebut juga dengan malam yang penuh keberkatan. Sebab pada malam itu Allah mencucuri pelbagai rahmat, keampunan dan keberkatan kepada orang yang beramal dengan khusyuk dan berdoa dengan penuh keikhlasan.
Kepada mereka Allah memberikan ganjaran kebaikan yang sama nilainya dengan beramal seribu bulan. Firman Allah bermaksud: "Malam al-Qadar itu itu lebih baik daripada seribu bulan" (Surah al-Qadr, ayat 3) .


Sebab-sebab Allah adakan Lailatul Qadr

Allah SWT Taala yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, amat menyayangi hamba-Nya yang taat beribadat kepada-Nya, ia tidak lain adalah untuk menganugerahkan kepadanya pahala-pahal yang banyak, supaya dengannya dia akan dapat masuk syurga.

Terdapat beberapa pandangan ulama yang menyebut bahawa, Allah SWT mempunyai sebab kenapa Dia mengadakan Lailatul Qadr buat umat Nabi Muhammad s.a.w antara lain;

Menurut Imam Malik, Rasulullah melihat bahawa umur umatnya tidak sepanjang umat sebelum mereka, baginda bermohon kepada Allah memberikan peluang di mana umatnya supaya dapat beramal dengan yang nilainya sama dengan amalan umat sebelum mereka.

Sementara Imam al-Qurtubi pula berpendapat, Rasulullah diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka Baginda berasa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya panjang. Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadar yang mempunyai nilai pahala seribu bulan kepada Rasulullah, para sahabat malah kepada seluruh umat baginda s.a.w.

Justeru, malam al-Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama seribu bulan atau menurut ulama sebagai 83 tahun empat bulan.


Dorongan Nabi supaya umatnya terus beribadat pada malam tersebut

Kerana keutamaan ini, Rasulullah menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadar yang penuh keberkatan itu.

Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.
Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, Witir, solat Tarawih, membaca dan tadarus al-Quran serta berzikir kepada Allah dan amalan solih lain yang dianjurkanIslam.
Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering
Baginda baca ialah doa maksudnya: "Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih."

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah. Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang kesalahan dan dosa selama ini. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: Setiap anak Adam tidak akan terlepas daripada melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu ialah yang bertaubat kepada Allah. (Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)
Berdasarkan permohonan inilah maka Allah menurunkan Lailatul Qadar.


Hikmah dirahsiakan kehadirannya

Sesungguhnya ayat al-Quran yang menceritakan tentang masa berlaku Lailatul Qadr, tidak dijelaskan secara jelas, kerana ia bertujuan agar manusia tidak hanya tertumpu pada satu malam sahaja jika mereka tahu malam tersebut, justeru ia dirahsiakan agar mereka menghidupkan setiap malam terakhir Ramadan dengan amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh baginda, para sahabat dan para solihin terdahulu.

Syeikh Muhammad Abduh berpendapat bahawa sebab malam itu diturunkan kepada umat Muhamad kerana Qadar itu bermakna ketentuan atau takdir. Pada malam itu Allah mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintahkan nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang melepaskan mereka daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Pendapat Syeikh Muhammad Abduh ini berdasarkan kenyataan bahawa al-Quran pertama kali diturunkan pada malam al-Qadar. Turunnya al-Quran pada dasarnya adalah watikah pelantikan Muhammad sebagai nabi dan rasul yang bertanggungjawab menyampaikan risalah Islam. Begitu juga dalam mengubah corak hidup manusia daripada alam jahiliah kepada suasana Islam. Ertinya malam al-Qadar itu adalah malam disyariatkan Islam kepada umat Nabi Muhammad sebagai agama penyelamat untuk seluruh alam.

Ada ulama lain yang menyatakan bahawa penyebab dikatakan dengan malam al-Qadar kerana pada malam itu Allah menetapkan takdir setiap makhluk baik berupa rezeki, umur atau sakit atau sihatnya seseorang untuk jangka masa setahun, iaitu dari malam al-Qadar tahun ini hingga ke malam al-Qadar tahun depan.

Mengenai jatuhnya malam al-Qadar, ulama berbeza pendapat mengenainya. Imam Nawawi berkata bahawa sebahagian ulama menyatakan malam itu bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya apabila pada tahun ini berlaku pada malam 29 Ramadan, maka tahun akan datang datang pada malam berbeza.

Hal sama dikatakan oleh Ibn Hazm bahawa Lailatul Qadar itu ada kalanya pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan.

Sementara menurut jumhur ulama, Lailatul Qadar berlaku pada malam yang sama pada setiap Ramadan iaitu pada malam 27 Ramadan. Ini berdasarkan hadis Rasulullah daripada Ubai bin Ka'ab yang diriwayatkan oleh Tirmizi dan hadis dari Mu'awiyah yang diriwayatkan Abu Dawud. "Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatul Qadar itu pada malam 27."
Sebahagian sahabat dan ulama mencuba menentukan Lailatul Qadar dengan cara lain, iaitu menggunakan rumusan tertentu.

Ibnu Abbas berkata bahawa surah al-Qadr itu terdiri daripada 30 kalimah. Kata salamum hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah yang ke-27. Oleh itu Ibnu Abbas menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27.

Sementara sebahagian ulama menyatakan bahawa kalimat Lailatul Qadr terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr kata-kata Lailatul Qadr itu diulang-ulang sebanyak tiga kali. Maka sembilan darab tiga adalah 27. Maknanya Lailatul Qadar itu berlaku pada malam 27.

Sementara ulama lain seperti Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berpendapat bahawa Lailatul Qadar itu berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir Ramadan.

Namun dalil yang paling kuat mengenai Lailatul Qadar adalah hadis daripada Aishah yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari. "Carilah sedaya-upaya kamu Lailatul Qadar itu pada sepuluh malam ganjil pada akhir Ramadan."

Perbezaan pendapat sahabat dan ulama ini sebenarnya adalah satu kenyataan bahawa tidak ada satu dalil jelas yang menunjukkan bila malam ini berlaku. Tetapi sahabat dan ulama bersepakat dengan hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aishah tadi bahawa malam itu berlaku pada sepuluh malam ganjil akhir Ramadan.

Menurut Prof Wahbah al-Zuhayli, sebab dirahsiakan Lailatul Qadar supaya umat Islam sentiasa berusaha beribadah pada setiap malam Ramadan tanpa menumpukan pada satu malam saja. Ini kerana setiap malam pada Ramadan memiliki hikmah dan rahsia tersendiri.


Tanda-tanda berlakunya Lailatul Qadr

Di antara tanda yang sempat terlihat pada masa Nabi s.a.w adalah bahwasanya ketika baginda bersujud di waktu Subuh di atas tanah yang dibasahi dengan air, ertinya bahawa pada malam itu turun hujan sehingga baginda sujud di atas tanah yang berair.

Lailatul Qadr adalah malam dibukanya seluruh pintu kebaikan, didekatkannya para kekasih Allah, didengarkannya permohonan dan dijawabnya segala doa, amal kebaikan pada malam itu ditulis dengan pahala sebesar besarnya, malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Maka hendaknya kita berusaha untuk mencarinya dengan bersungguh-sungguh.

Malam itu tenang dan hening, keadaannya tidak dingin dan tidak panas; siangnya pula memancarkan cahaya matahari yang warnanya pucat; pada malam itu juga malaikat Jibril akan menyelami orang yang beribadat pada malam itu dan secara tiba-tiba kita akan rasa sangat sayu dan kemudiannya menangis teresak-esak.

Ada pendapat yang berkata, bahawa orang yang menemui lailatul qadar akan melihat nur yang terang benderang di segenap tempat hingga keseluruhan ceruk yang gelap gelita.

Ada pula menyatakan bahawa kedengaran ucapan salam dan kata-kata yang lain daripada malaikat.

Ada juga yang melihat segala benda termasuk pohon-pohon kayu rebah sujud.
Ada yang berkata doa permohonannya makbul.


Fokus umat pada malam tersebut

Lailatul Qadr seperti yang dijelaskan di atas, adalah masa yang paling sesuai untuk mengajukan segala permohonan kepada Allah SWT, apa yang perlu dilakukan pada malam tersebut ialah dengan perkara-perkara berikut:
Menghayati malam tersebut dengan ibadah
Beriman dengan yakin bahawa malam lailatul qadar itu adalah benar dan dituntut menghayatinya dengan amal ibadah.
Amal ibadah itu dikerjakan kerana Allah semata-mata dengan mengharapkan rahmat dan keredhaanNya.
Kesimpulan, persoalan bila sebenarnya berlakunya Lailatul Qadr, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.

Apa yang telah dinyatakan kepada kita melalui hadis-hadis Nabi s.a.w ialah tanda-tanda dan juga malam-malam yang kemungkinan berlakunya Malam al-Qadr.

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w menghidupkan 10 malam terakhir dengan beriktikaf, ramai di kalangan ulama' cenderung mengatakan bahawa malam tersebut kemungkinan besar akan berlakunya Malam al-Qadr.

Mengenai cerita pelik yang berlaku, usahlah dijadikan pegangan, oleh kerana para sahabat juga mencari Malam Al-Qadr dengan berdasarkan tanda-tanda yang telah Nabi saw ceritakan kepada mereka. Malah, tidak terdapat sebarang periwayatan mengenai apa yang telah dilihat oleh para sahabat. Maka tidak melihat, tidak bermakna tidak mendapat ganjaran Malam al-Qadr!


Fikir masalah umat ketika sedang beritikaf adalah ibadat

Bukan sahaja melakukan ibadat qiyamullail itu dikira sebagai satu amal ibadat yang baik di sisi Allah SWT, malah memikirkan sesuatu khususnya mengenai masalah yang melanda umat Islam hari ini juga dikira sebagai ibadat yang besar, apatah lagi ketika menjalani proses beri’tikaf dalam masjid pada malam-malam terakhir Ramadan.

Lebih-lebih lagi masalah umat secara global, sama ada keruntuhan moral, perilaku, akhlak di kalangan remaja lelaki mahupun perempuan, masalah krisis keyakinan terhadap Islam di kalangan mereka yang mempunyai profil tinggi dan lain-lain, kesemua itu dapat ditangani jika masing-masing memainkan peranan sebagai hamba Allah yang mempunyai jati diri sebagai orang yang bertakwa seperti yang dituntut dalam ayat mengenai matlamat pelaksanaan ibadat puasa.


Fadilat Lailatul Qadr

Mungkin terdapat sesetengah orang menyangka bahawa mendirikan Qiyamullail pada disepertiga (1/3) malam iaitu dengan hanya bersolat Tarawih (Qiyam Ramadan) berjemaah pada awal malam, iaitu selepas Solat Ba'diyah Isya'. Apakah orang seperti ini mendapat ganjaran atau pahala seperti mereka yang bersolat di malam Al-Qadr (sekiranya berlaku Lailatul Qadr pada malam tersebut)?

Berkata Muhaddis terkenal, Sheikh Nasyirudin Al-Albani (didalam buku Risalah Qiyam Ramadan) :
"Sebaik-baik malam ialah Malam Al-Qadr, kerana baginda s.a.w bersabda :'Barangsiapa yang berqiyam pada Malam Al-Qadr (berjaya mendapatkannya) dengan keimanan dan pengharapan, telah diampunkan dosa-dosa yang telah lalu' - [Hadith riwayat kedua Sheikh dari hadith Abu Hurairah, Ahmad 5/318].

Sementara Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi menceritakan mengenai syarat beramal pada malam Al-Qadr, katanya :
"Membawa kepada apa yang harus dilakukan oleh seorang Islam pada malam tersebut ialah : bersolat Isya' berjemaah, Solat subuh berjemaah dan pada malamnya mendirikan qiyamullail.

Di dalam Sahih diriwayatkan bahawa Nabi bersabda :"Barangsiapa yang bersolat Isya' berjemaah, seolah-olah ia berqiam di separuh malam, dan barangsiapa yang bersolat subuh berjemaah, seolah-olah ia bersolat disepanjang malam tersebut. (Riwayat Ahmad, Muslim dan lafaznya, dari hadis Osman, Sahih Jami' Saghir - 6341).

Dan tujuannya ialah : Barangsiapa yang bersolat Subuh dengan tambahan-tambahan di dalam waktu Isya', adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam Hadis Abu Daud dan Tirmizi :

"Barangsiapa yang solat Isya' berjemaah bagaikan berqiyam separuh malam, dan barangsiapa bersolat Isya' dan Fajar bagaikan ia berqiyam sepenuh malam (sumber yang sama - 6342)."

Semoga tahun ini kita mendapat rezeki untuk bertemu dengan Lailatul Qadr, iaitu satu malam yang penuh dengan misteri, supaya pahala amalan kita dilipat gandakan oleh Allah dan dikira sebagai amal-amal yang solih, Insya Allah.

Friday, August 17, 2007

Summer Training Camp 2007

Summer kali ini rasa agak terisi. Usai 3 kelas 'Summer' yang sibuk sejak Mei lepas, diri tekad nak merehatkan otak sikit. Alhamdulillah, tak sangka juga dapat selesaikan 11 'credit hours' dalam waktu sesingkat ni, di kala orang lain seronok pulang ke tanah air yang dirindui. Subjek ARABIC 210A, MATH 175 (Calc. 3), dan MATH 198 (Differential Equations) mengisi masa cuti summer panjang yang panas..fuh, cukup ganas dah kot..

Jumaat lepas,, diri telah berkesempatan mengikuti Summer Training Camp (STC) , program tahunan anjuran bersama MISG (Malaysian Islamic Study Group of US & Canada) dan IMSA (Indonesian Muslim Society in America). Yang mana tahun ini telah diadakan di Lake of The Ozarks, Missouri; Ogos 10-13, 2007. Bersifat jauh lebih santai berbanding program-program yang biasa diadakan MISG dan IMSA seperti Mukatamar Tahunan yang sempat diri 'join' winter lepas.

Best. Bak kata orang putih. Dapat berjumpa semula rakan seperjuangan dari universiti-universiti lain memang cukup menyenangkan. Walaupun kebanyakan mereka tiba agak lewat dari tarikh mula program atas sebab tertentu. Kesian juga baru sampai, esoknya sudah perlu pulang. Dan dapat berkenalan juga dengan mbak-mbak dari Indonesia sefamili, dengan anak-anak mereka yang memang comel belaka.

SEMAIKAN UKHWAH, TINGKATKAN TAQWA, CINTAI SEMESTA

LAKE OF THE OZARKS (RISING SUN CAMPSITE), MISSOURI

AUGUST 10-13,2007

ALSO FEAT. HA HA TONKA PARK (FOR KEMBARA ALAM)

Tuesday, August 7, 2007

Seksi: Jabatan agama tidak jadi dakwa penyanyi
06-08-2007 08:53:00 PM

IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) menggugurkan pendakwaan terhadap penyanyi Siti Noor Idayu Abd Moin berkaitan kes berpakaian menjolok mata dan menggalakkan maksiat di sebuah kelab malam.

Penyanyi itu, 22, berkata Jaip mengambil keputusan tersebut selepas satu pertemuan Sabtu lepas.

“Dalam mesyuarat itu, (Jaip) membuat keputusan menggugurkan pertuduhan sebab ia tidak mempunyai cukup bukti untuk meneruskan pendakwaan," kata Siti Noor Idayu [foto kiri].

Dalam pertemuan itu, katanya, pegawai-pegawai Jaip turut menasihatkannya berpakaian sopan untuk persembahan pada masa depan.

Penyanyi itu bagaimanapun berkata dia akan tetap berpakaian seperti sebelumnya.

"Saya tidak fikir pakaian saya terlalu menjolok mata atau seksi. Bukannya saya pakai bikini. Saya tahu apa yang boleh dan tidak boleh saya lakukan," katanya.

Jaip menahan Siti Noor Idayu dan beberapa lagi ketika serbuan di sebuah kelab malam di Tambun pada 3 Julai lepas. Jabatan agama tersebut setakat ini gagal dihubungi untuk ulasan.








'It is quite irony', bak orang rambut perang cakap. Belakangan ini agak gah isu artis-artis ditegur berkaitan penampilan mereka yang semakin berani. Berapa ketika dulu gambar si kecil manis Sharifah Amani dengan tiada berambutnya bukan main besar terpampang di muka depan akhbar tempatan dan kecoh seketika apabila dia ditegur Mufti Selangor sendiri. Ya, membotakkan kepala bagi wanita memang terang-terangan haram kerana menyerupai lelaki.


Dari Ibnu Abbas Rhma berkata :
Rasulullah saw. telah melarang perempuan mencukur ( membotakkan ) kepalanya .
Dikeluarkan oleh An Nasaa'I Kitabuz Ziinah , bab Larangan Perempuan mencukur kepalanya

Abi Musa Al Asya'ri Rha. berkata :

Rasulullah saw. berlepas diri dari perempuan yang meninggikan suara tangisan ketika meratap dan membotakkan kepala ketika musibah .
Dikeluarkan oleh Imam Bukhari

Ulasan :
Membotakkan kepala bagi wanita dalam keadaan mereka menerima musibah dilarangkan oleh Rasulullah saw. sehingga baginda melafazkan bahawa baginda akan berlepas diri darinya, inikan pula membotakkan kepala dalam keadaan aman tanpa sebarang musibah .Pastinya ia lebih dimurkai oleh Nabi saw.

Itu berkaitan membotakkan kepala. Bagaimana pula perihal berpakaian mendedah menjolok mata oleh artis-artis kita sekarang ini? Tindakan JAIP terhadap Ida Moin tempoh hari sepatutnya dipuji kerana berani bertindak walaupun sayang kerana hanya berani di tengah jalan, terpaksa menggugurkan dakwaan tersebut atas alasan tak cukup bukti. Ah, sepatutnya badan-badan agama yang lain juga perlu seiring bertindak. Kes ini boleh dikategori kes terpencil, berlambak lagi artis-artis yang lebih berani mendedah-dedah dan menggalakkan maksiat di kelab-kelab malam. Dan kalau betul nak istiqamah bertindak, tak perlu ke kelab-kelab malam dan tempat tertutup saja; serbu saja dewan-dewan besar dan auditorium pada malam-malam anugerah hiburan; rasanya kosong terus dewan tu kecuali hadirin yang bertuksedo.

Itulah ironinya. 'Gajah depan mata tak nampak, kuman sebatu boleh nampak'.

Umum selalunya menyalahkan kerajaan. Benar, kerajaan punya kuasa untuk mengawal 'produk' dari industri hiburan. Kita ada Lembaga Penapisan Filem dan pelbagai akta untuk mengawal kandungan media sebelum jadi tontonan anak-anak kecil. Tapi malangnya kerajaan tak punya kuasa terhadap tuan punya badan artis-artis itu sendiri untuk mengawal tingkah laku dan pembawaan mereka di luar.

Isu ini seharusnya difikir bersama. Jari tak patut ditunding pada badan-badan agama yang wujud. Kerana mereka berada dalam situasi dilema sekarang; yang mana bila mereka bertindak menahan artis yang terdedah, umum akan bidas, ada lagi artis yang lagi dedah, kenapa tak tahan mereka? Bila mereka menegur yang melanggar batas syarak, ada yang akan bidas, ramai je yang dah buat dulu, kenapa tak tegur mereka? Macam cerita bangau, tapi siapa agaknya yang akan jadi si ular; yang mengaku kesalahan sendiri?

Jelas, isu ini jadi hangat bila artis yang mencetuskannya. Dan cukup jelas, artis merupakan penggerak media dan media punya pengaruh besar dalam membentuk moraliti masyarakat dan seterusnya negara. Pendapat diri, kalau kita takut artis bawa pengaruh buruk pada anak-anak generasi sekarang dan akan datang dengan imej dan personaliti yang buruk, institusi keluargalah yang berperanan kritikal dalam hal ini. Pembentukan sahsiah dan moral anak-anak yang mantap perlu dipupuk dari kecil supaya iman mereka kebal dengan persekitaran mereka yang kurang elok. Dan kita jangan lupa, kita juga punya pengaruh besar dalam media; kuasa memilih.

Mufti-mufti dan badan agama yang wujud perlu terus proaktif dalam hal ni. Teruslah menegur dan bertindak menahan orang-orang yang bersalah. Umum mungkin akan membidas, tapi sekurang-kurangnya umum akan lebih celik mata berkaitan isu ini. Dan kalau artis-artis ni tak sedar juga, kita doakanlah mereka dapat hidayah dan petunjuk dari Allah SWT.


p/s: masih terasa geram dengan kenyataan Rosnah Mat Aris yang menghina junjugan besar kita SAW. Kebebasan media terlampau.

Sunday, July 22, 2007

Bangsa Yahudi kian pupus

Oleh Nurul Adlina Kamaludin (BERITA HARIAN 23 Julai 07)

Kurang anak, kahwin campur punca rakyat berkurangan: Kajian


KETIKA dunia terus menyaksikan sandiwara Israel yang tidak berkesudahan bagi menjejaskan proses damai di bumi Palestin, ada satu lagi isu yang memeningkan Perdana Menteri Ehud Olmert dan pemimpin kumpulan pelobi utama Yahudi di negara lain.

Ia tiada kaitan dengan nasib penduduk Palestin yang terus dianiayai atau taktik terbaru memperkotak katikkan pemimpin tertentu Palestin dan Arab yang terus menjadi buah catur permainan licik rejim Zionis.

Sebaliknya, ia menyentuh isu lebih penting iaitu kelangsungan bangsa Yahudi, kewujudan Israel sebagai negara mutlak penganut Yahudi dan persepsi bangsa itu di mata dunia.

Masalah itu ibarat barah yang melenyapkan kelangsungan bangsa yang biarpun nampak hebat, tetapi goyah dari segi bilangan penduduknya. Biarpun kelihatan kuat, hakikatnya, Israel terpaksa bergantung harap kepada simpati dunia menerusi peristiwa Holocaust dan bantuan Amerika Syarikat.

Kemelut utamanya adalah masalah kurangnya zuriat bagi meneruskan keturunan Yahudi ini, seperti dipaparkan kajian kumpulan pelobi utama Yahudi, The Jewish Agency menerusi Institut Perancangan Dasar dan Penduduk Yahudi yang diketuai tokoh akademik, Profesor Yechezkel Dror.

Kajian institut berpejabat di Baitulmaqdis yang menyentuh keadaan semasa dan masa depan Yahudi, antara lain mendedahkan bilangan penduduk Yahudi di seluruh dunia kini susut 25 peratus sejak 1970. Ia disebabkan kadar kelahiran rakyatnya yang rendah dan peningkatan perkahwinan campur, di dalam dan luar Israel. Statistik 2006 menunjukkan penduduk Yahudi mencecah 13 juta.

Pada 1939, ada 17 juta penduduk Yahudi di dunia dan ia makin berkurangan sejak 40 tahun lalu. Jika keadaan berterusan, masyarakat Yahudi mungkin terus berkurangan atau semakin ‘pupus’ pada 2080.

Israel mahu menjadi negara mutlak Yahudi dunia seawal 2020 dan menempatkan bilangan penduduk Yahudi paling ramai di dunia menjelang 2050, sama ada menerusi kelahiran baru atau pun penghijrahan penganut Yahudi dari luar.

Namun, berdasarkan perkembangan semasa, harapan Israel mungkin sukar dicapai.

Negara yang hebat dalam ketenteraan, perubatan, kewangan, perdagangan, taktik politik, pelobi, licik dan pembunuh anak Palestin dan Lubnan, kini ketandusan bayi atau zuriat bagi meneruskan kelangsungan bangsa Yahudi.

Lebih sukar, ia turut berdepan krisis identiti diri. Ada penganut Yahudi malu mendedahkan identiti sebenar kerana bimbang menjadi sasaran bukan saja daripada masyarakat Islam, tetapi masyarakat lain yang memandang sinis kepada Yahudi.

Kaum Yahudi digambarkan sebagai kaki ampu, memonopoli kuasa ekonomi dunia dan tidak setia, seperti dibuktikan hasil tinjauan terbaru di enam negara Eropah, yang diumumkan Selasa lalu.

Separuh responden dalam kajian di Austria, Belgium, Britain, Hungary, Belanda dan Switzerland secara terang-terang meragui kesetiaan penduduk Yahudi yang dilihat lebih setia kepada Israel berbanding negara tumpangan mereka.

Tinjauan kumpulan pelobi Yahudi Anti-Defamation League (ADL) juga menunjukkan 34.5 peratus yakin Yahudi menguasai sektor kewangan dan perniagaan dunia. Tidak cukup dengan itu, 43 peratus lain berpendapat bangsa Yahudi terlalu banyak bercakap mengenai peristiwa Holocaust yang didakwa pembunuhan berjuta-juta Yahudi oleh Nazi ketika Perang Dunia Kedua.

Kajian itu menunjukkan peningkatan sikap antiSemitik yang lebih ketara, berbanding tinjauan sebelumnya pada 2005 dan Hungary adalah negara paling tinggi memaparkan sikap antiSemitik berbanding negara Eropah yang lain.

“Kami bimbang apabila mendapati peratusan besar responden dan majoriti di Austria, Hungary dan Switzerland yang yakin penduduk Yahudi Amerika Syarikat mengawal dasar Washington ke atas Asia Barat,” kata Pengarah ADL Abraham Foxman.

Beliau menyifatkan perkembangan itu amat membimbangkan kerana masih ramai rakyat Eropah meragui penduduk Yahudi, sedangkan ia sepatutnya sudah terkubur selepas kejatuhan pengaruh komunis.

Hakikatnya, biarpun rakyat Hungary paling syak wasangka terhadap bangsa Yahudi dan Israel, Britain – sekutu AS yang juga rakan baik Israel, terbukti lebih lantang.

Bayangkan dalam masa tidak sampai setahun saja, tokoh akademik, wartawan, arkitek, doktor dan terbaru pekerja pengangkutannya menerusi kesatuan masing-masing yang mencecah hampir sejuta anggota, melancarkan usaha memboikot Israel atas kekejaman rejim Zionis itu terhadap penduduk Palestin.

Ia bermula April lalu apabila Kesatuan Wartawan Kebangsaan Britain, menyokong usaha pemulauan barang Israel. Sebulan berikutnya, Kesatuan Arkitek dan Perancang Britain menyelar rakan profesional mereka di Israel kerana menyertai projek pembinaan negara Yahudi di wilayah Palestin yang dicerobohi. Kesatuan Universiti dan Kolej (UCU) yang juga persatuan terbesar pensyarah institusi pendidik Britain, pula menyokong tindakan kesatuan sekerja Palestin memulaukan ahli akademik dan pusat pengajian tinggi Israel. Terbaru, Kesatuan Pekerja Pengangkutan yang juga antara yang terbesar di negara Barat itu, memboikot semua produk Israel.

Perkembangan itu sudah pasti diberi tumpuan pentadbiran Olmert dan sekutunya, Presiden George W Bush.

Di Iran, masyarakat Yahudi menolak tawaran wang tunai sehingga £30,000 (RM210,000) bagi setiap keluarga untuk berpindah ke Israel, seperti didedahkan akhbar Guardian, Rabu lalu.

Siapa sangka di sebalik kehebatan Israel, ada hakikat suram sedang membelenggu mereka. Hakikat ibarat barah yang mengancam kelangsungan bangsa Yahudi dalam bentuk kekurangan zuriat serta pengaruhnya yang makin suram pada peringkat antarabangsa.

Apa guna kuasa, wang, pengaruh dan kehebatan tentera jika pada kesudahannya Israel dan bangsa Yahudi makin pupus.

--------------------------------------------------------------------------------------------------

وَإِذَا مَسَّ الإِنسَانَ الضُّرُّ دَعَانَا لِجَنبِهِ أَوْ قَاعِدًا أَوْ قَآئِمًا فَلَمَّا كَشَفْنَا عَنْهُ ضُرَّهُ مَرَّ كَأَن لَّمْ يَدْعُنَا إِلَى ضُرٍّ مَّسَّهُ كَذَلِكَ زُيِّنَ لِلْمُسْرِفِينَ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ



10:13 And, indeed, We destroyed before your time [whole] generations when they [persistently] did evil although the apostles sent unto them brought them all evidence of the truth; for they refused to believe [them]. Thus do We requite people who are lost in sin.

Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang sebelum kamu, ketika mereka berbuat kezaliman, padahal Rasul-Rasul mereka telah datang kepada mereka dengan membawa keterang-keterangan yang nyata, tetapi mereka sekali-kali tak hendak beriman. Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat dosa. (QS. 10:13)

  © Blogger template 'Isolation' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP